Thursday, December 22, 2011

SKIM SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA)

Kepada semua kakitangan SKS2BK,

Mesyuarat Staf yang pertama akan diadakan pada ketetapan berikut : -

T arikh : 27 Disember 2011
Hari : Selasa
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Bilik Wawasan

Kehadiran tuan/puan adalah diwajibkan. Agenda mesyuarat pada kali ini ditambah dengan menandatangani skim baru SBPA selain daripada agenda biasa. Sekian, harap maklum.

Monday, December 12, 2011

BORANG BR1M

Pada 10 Disember 2011 yang lalu, Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) telah mengedarkan Borang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada semua warga Malaysia yang layak memohon. Walau bagaimanapun masih ramai rakyat Malaysia yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan borang tersebut disebabkan kekangan masa dan tempat penyerahan yang jauh. Oleh yang demikian, KKM telah menyediakan saluran atas talian (online) untuk mendapatkan borang tersebut. Ia boleh dimuatturun daripada laman sesawang KKM. Sila klik pautan Kementerian Kewangan Malaysia untuk ke laman tersebut.

Thursday, December 8, 2011

PENJELASAN TENTANG KETUA KELUARGA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan semalam menjelaskan bahawa isi rumah yang layak memohon pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500, merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada anggota keluarga yang tinggal serumah, dan mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah.

“Ini merangkumi individu yang berkahwin; ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan; bujang yang mempunyai tanggungan; dan warga emas (berumur 60 tahun dan ke atas) sebatang kara,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan semalam.


Katanya setiap anak berkahwin yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah, tetapi tinggal serumah dengan ibu bapa, dikira sebagai satu isi rumah berlainan.

“Pendapatan kasar isi rumah merujuk kepada pendapatan suami, isteri dan tanggungan yang masih bujang,” katanya dan menekankan ‘hanya ketua isi rumah sahaja yang layak untuk memohon.’ Kementerian Kewangan telah membuka Bilik Gerakan untuk operasi Talian Hotline BR1M 1-800-222-500 bermula hari ini bagi memudahkan orang ramai mendapat penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan BR1M. Talian Hotline ini beroperasi setiap hari bekerja, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.


Kementerian itu juga mengingatkan bahawa pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada 10 Disember ini hingga 10 Januari 2012. Borang-borang pendaftaran boleh didapati secara percuma di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), serta akhbar tempatan, katanya.


Borang yang lengkap diisi hendaklah disertakan salinan kad pengenalan dan slip gaji (jika berkenaan) dan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, Jabatan Penerangan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat LHDNM.

Sumber daripada Harian Metro Online (myMetro)

Thursday, December 1, 2011

DAFTAR BANTUAN RM500

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Pendaftaran permohonan Bantuan Tunai RM500 akan dibuat mulai 10 Disember ini untuk tempoh satu bulan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Sehubungan itu, beliau berkata, pembayaran Bantuan RM500 hanya akan dibuat kepada ketua isi rumah yang layak mulai pertengahan Januari tahun depan.

Menurutnya, borang pendaftaran boleh didapati secara percuma mulai tarikh tersebut di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), serta agensi-agensi Kerajaan.

''Borang yang lengkap diisi beserta salinan kad pengenalan, hendaklah diserah untuk proses pendaftaran di Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, sekolah-sekolah terpilih serta pejabat-pejabat cawangan LHDN,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sumber daripada Utusan Malaysia Online