Monday, February 27, 2012

PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH, PENGAWAS PSS DAN PEMBIMBING RAKAN SEBAYA

Pada perhimpunan rasmi pada hari Isnin ( 28 Februari 2012 ), pihak sekolah telah mengadakan Majlis Pelantikan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pn. Asmahanim selaku GPK Kurikulum menggantikan Guru Besar SKS2BK.

Semua pengawas sekolah dan pengawas PSS yang dilantik adalah terdiri daripada pengawas baharu daripada murid-murid Tahap 2. Manakala bagi PRS, lantikan dibuat kepada dua orang wakil murid daripada setiap kelas dari Tahun 1 hingga Tahun 6.

Pada tahun ini, adik Nurul Izzati dilantik sebagai Ketua Pengawas PSS yang dibantu oleh Penolong Ketua Pengawas PSS iaitu adik Siti Nur Nabilah. Kedua-duanya adalah dari kelas 6 Linux. Tahniah di atas pelantikan adik-adik semua. Semoga anda semua dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan cemerlang.

Monday, February 13, 2012

JADUAL KEM BESTARI SOLAT 2012

Dimaklumkan bahawa SKS2BK akan mengadakan Kem Bestari Solat 2012 untuk semua murid Islam dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Tarikh-tarikh bagi kem tersebut adalah seperti jadual di bawah :

1) 14/2/12 ; 12.30 tgh - 2.00 ptg ; Tahun 1, 2 & 3
2) 28/3/12 ; 12.30 tgh - 2.00 ptg ; Tahun 1, 2 & 3
3) 18/4/12 ; 2.00 ptg - 4.00 ptg ; Tahun 4, 5 & 6
4) 5/9/12 ; 12.30 tgh - 2.00 ptg ; Tahun 1, 2 & 3
5) 19/9/12 ; 2.00 ptg - 4.00 ptg ; Tahun 4, 5 & 6

Semua aktiviti tersebut akan diadakan di SKS2BK. Sehubungan dengan itu, ibu, bapa atau penjaga diminta memberi kerjasama untuk memastikan anak tuan/puan membawa telekung (murid perempuan), selipar dan buku KBS.

Tuan/puan juga diminta menguruskan pengangkutan pergi dan balik anak masing-masing pada hari berkenaan. Sokongan dan kerjsama tuan/puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan kami dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

Thursday, February 9, 2012

MAJLIS MAULIDUR RASUL 2012

Majlis Maulidur Rasul 2012 akan diadakan di Dataran Cemerlang pada 10 Februari 2012 (Jumaat). Majlis yang bertemakan"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" ini akan bermula pada jam 7.40 pagi hingga 9.10 pagi. Guru Besar SKS2BK dijangka merasmikan majlis tersebut diikuti oleh Ceramah Maulidur Rasul yang akan disampaikan oleh Ustaz Wan Asuwadi bin Wan Yaacob.

Kemudian, majlis diteruskan dengan perarakan oleh murid-murid dan guru-guru SKS2BK mengelilingi padang sekolah sambil berselawat memuji kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W. Majlis diakhiri dengan selawat beramai-ramai di Dataran Cemerlang oleh semua warga SKS2BK yang beragama Islam. Bagi murid-murid yang bukan beragama Islam, mereka ditempatkan di dalam kelas masing-masing bersama guru Pendidikan Moral. Mereka akan mengikuti pembelajaran harian seperti biasa.