Tuesday, May 22, 2012

PEMBATALAN AKTIVITI KOKURIKULUM

Makluman kepada semua warga SKS2BK. Aktiviti kokurikulum yang sepatutnya dijalankan pada 23 Mei 2012 (Rabu) bermula pada pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang akan dibatalkan.

Keputusan ini dibuat bagi memberi peluang kepada murid-murid yang bersekolah agama menduduki peperiksaan di sekolah agama masing-masing. Pihak sekolah memohon kepada semua murid agar menyampaikan maklumat ini kepada murid-murid lain. Segala kesulitan adalah amat dikesali.

PC EXPO 2012

PC Expo 2012 akan diadakan bermula pada 25 hingga 27 Mei 2012. Expo tersebut akan diadakan di Mid Vallley Exhibition Centre. Maklumat lanjut sila layari Unit ICT SKS2BK.

Monday, May 21, 2012

MINGGU PADANG PASIR 2012

Minggu Padang Pasir, begitulah tema yang telah dipilih oleh Panitia Bahasa Arab (j-QAF) dan Panitia Pendidikan Islam, SKS2BK untuk aktiviti panitia tersebut. Majlis telah disempurnakan oleh En. Azmin bin Yahya (GPK Kokurikulum) di Dataran Cemerlang, SKS2BK. Program ini dijalankan selama seminggu bermula pada 21 Mei 2012 sehingga 25 Mei 2012.

Antara aktiviti yang akan diadakan adalah seperti perkataan LAWAD bahasa Arab yang dijalankan setiap kali perhimpunan harian, pertandingan Kalam Jamaei bagi murid Tahap 2 pada tarikh berikut :
  1. Tahun 4 : 22 Mei 2012
  2. Tahun 5 : 23 Mei 2012
  3. Tahun 6 : 24 Mei 2012
Pada hari terakhir program, pertandingan Pakaian Ala Padang Pasir yang dibuka kepada murid-murid Tahap 1 iaitu pada 25 Mei 2012. Semoga dengan berlangsungnya program ini dapatlah sedikit sebanyak membantu membangkitkan minat murid-murid untuk mempelajari bahasa Arab.

Wednesday, May 16, 2012

HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KE-14


Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang berikut : EduwebTV

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH

Tanggal 16 Mei 2012 adalah tarikh keramat bagi guru-guru seluruh Malaysia kerana pada tarikh tersebut merupakan sambutan Hari Guru di seluruh negara. Pada tahun ini, semua sekolah di Malaysia menyambutnya serentak. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara"

Sambutan Hari Guru 2012 telah diadakan di Dataran Cemerlang, SKS2BK. Majlis dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri Selangor. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhammad Suhaib. Seterusnya majlis diserikan dengan ucapan daripada wakil murid, YDP PIBG, guru besar dan bacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Acara diteruskan dengan penyampaian cenderamata oleh YDP PIBG kepada semua guru SKS2BK. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Guru Malaysia.

Tuesday, May 15, 2012

KEM JATI DIRI 2012

Kem Jati Diri 2012 diadakan adalah untuk membentuk murid yang mempunyai asas kepimpinan berdasarkan keimanan yang teguh. Selain itu, kem ini juga bertujuan untuk menerapkan dan menghayati nilai-nilai murni, mengamalkan cara hidup Islam, bertanggungjawab dan cergas.

Murid-murid yang terlibat adalah daripada murid-murid Tahun 6 yang seramai 173 orang. Kem ini akan dilaksanakan pada 18 Mei 2012 hingga 19 Mei 2012 (Jumaat dan Sabtu). Ia dijalankan di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara.

Di dalam program ini terdapat aktiviti suai kenal, latihan dalam kumpulan, ceramah dan riadah. Oleh sebab itu, murid-murid diminta menyediakan peralatan keperluan seperti barangan keperluan diri, buku catatan dan alat tulis.

Semoga dengan program ini akan meningkatkan motivasi diri murid-murid terutamanya untuk menghadapi peperiksaan UPSR kelak.

Wednesday, May 9, 2012

MAKLUMAN KEPADA IBU, BAPA ATAU PENJAGA

Sejak kebelakangan ini, pihak sekolah telah menerima banyak aduan tentang kehilangan beg, kasut malah duit. Kejadian telah menjadi fenomena baru-baru ini. Banyak usaha yang telah dilakukan oleh pihak sekolah dengan menyoal siasat mereka yang terlibat, memberitahu murid dalam perhimpunan rasmi sekolah dan beberapa langkah penjegahan lain.  Justeru itu, ibu, bapa atau penjaga dinasihatkan agar menulis nama anak masing-masing pada kasut atau beg sekolah mereka. Ini bagi mengelakkan mereka kehilangan barang tersebut atau tersalah memakai kasut murid lain.

Bagi ibu, bapa atau penjaga yang ingin membuat bayaran sumbangan PIBG, sila berjumpa terus dengan guru kelas anak masing-masing. Ini bagi mengelakkan kehilangan atau kecurian duit tersebut. Jika guru kelas tiada, tuan/puan boleh berhubung dengan kerani pejabat untuk hal tersebut.

Terdapat juga ibu, bapa atau penjaga yang memberikan kepercayaan kepada anak-anak mereka untuk membayar tambang bas atau van sekolah yang berjumlah puluhan ringgit kepada pengusaha bas atau van sekolah. Ini amat merbahaya kerana duit yang murid bawa berkemungkinan dapat dilihat atau diketahui oleh mereka yang suka mengambil kesempatan ke atas anak tuan/puan. Oleh yang demikian, ibu, bapa atau penjaga wajar membayar wang tersebut sendiri.

Wednesday, May 2, 2012

PERUBAHAN TARIKH JADUAL PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012

Dimaklumkan bahawa terdapat perubahan tarikh Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012 dari 14 hingga 18 Mei 2012 kepada 9 hingga 15 Mei 2012 (Rabu hingga Selasa). Sehubungan dengan itu, semua murid diminta bersedia untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Dimaklumkan juga bahawa aktiviti Kokurikulum dan kelas Tasmik akan dibatalkan sepanjang hari peperiksaan.

Sebagai rujukan tuan, Jadual Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012 telah diserahkan kepada anak-anak tuan/puan pada minggu lepas. Kami berharap agar tuan/puan dapatkan jadual tersebut daripada anak masing-masing.

Sokongan dan kerjasama tuan/puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan kami dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

Nota : Aktiviti Kokurikulum akan dijalankan pada 16 Mei 2012 (Permainan)