Friday, August 30, 2013

MAKLUMAN REHAT MURID SEMPENA PEPERIKSAAN UPSR 2013

Sempena peperiksaan UPSR pada 10 hingga 12 September 2013, murid-murid Tahun 1 hingga Tahun 5 akan direhatkan secara bergilir seperti jadual di bawah : -


Tarikh UPSR
Aliran Bersekolah
Aliran Direhatkan
Jadual Waktu
10.09.2013 (Selasa)
Tahun 2, Tahun 3
Tahun 1, Tahun 4, Tahun 5
Selasa
11.09.2013 (Rabu)
Tahun 4, Tahun 5
Tahun 1, Tahun 2, Tahun 3
Rabu
12.09.2013 (Khamis)
Tahun 1, Tahun 5
Tahun 2, Tahun 3, Tahun 4
Khamis

Murid-murid Tahun 1 hingga Tahun 5 direhatkan kerana ketidakcukupan bilik darjah untuk belajar dan sekaligus mewujudkan suasana tenteram dan terkawal bagi murid Tahun 6 yang menghadapi peperiksaan tersebut. Kerjasama tuan/puan juga diminta agar dapat menguruskan pengangkutan anak tuan/puan pada hari tersebut.

Sokongan dan kerjasama tuan/puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan kami dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

Tuesday, August 27, 2013

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN 2013


Pada 24 Ogos 2013 (Sabtu) yang lalu, SK Seksyen 2 Bandar Kinrara telah mengadakan Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan bagi tahun 2013. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh En. Mohamed Salem bin Fazal Deen (GPK Kurikulum) di Dataran Cemerlang.  Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Panitia Kajian Tempatan yang diketuai oleh Pn. Nor Azmazura bt. Mohd. Khaldi dan ahli jawatankuasa yang lain. 

Sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan ini berlangsung, banyak aktiviti yang telah dirancang. Antara aktiviti-aktiviti tersebut adalah seperti Kempen Kibar Jalur Gemilang, pertandingan mewarna, pertandingan nyanyian Lagu Patriotik, pertandingan "Fashion Show", Kuiz Uji Minda Murid, Kuiz Uji Minda Guru, pertandingan Melukis Logo Kemerdekaan dan pertandingan Menceriakan Kelas.  

Justeru itu, ambillah peluang yang julung kali diadakan sempena menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56 yang bertemakan Negaraku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku. Selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada semua.

MAJLIS MINI ANUGERAH CEMERLANG 3/2013

Majlis Mini Anugerah Cemerlang  telah diadakan dengan jayanya pada pagi ini 27 Ogos 2013 (Selasa). Majlis ini telah dirasmikan oleh En. Mohamed Salem bin Fazal Deen (GPK Kurikulum) di Dataran Cemerlang, SKS2BK. Majlis kali ketiga ini diadakan adalah untuk meraikan kejayaan murid-murid yang cemerlang dalam kurikulum. 

Mereka terdiri daripada penerima-penerima Anugerah Peningkatan Akademik Terbaik bagi Tahun 4, 5 dan 6. Turut diadakan adalah Anugerah Kedudukan Akademik Terbaik Aliran bagi Tahun 4, 5 dan 6. Mereka dipilih daripada pencapaian mereka di dalam Ujian Formatif 2 yang telah dijalankan pada bulan Julai yang lalu. 

Turut hadir bagi memeriahkan majlis adalah para jemputan yang terdiri daripada AJK PIBG, ibu, bapa dan penjaga. Mereka datang semata-mata untuk meraikan kejayaan anak dan anak di bawah jagaan masing-masing. Diharapkan dengan adanya majlis seperti ini dapat membangkitkan semangat murid untuk bersaing secara sihat dan meningkatkan potensi diri dalam bidang akademik. 

Tahniah kepada semua yang berjaya. Buat mereka yang kurang berjaya, jangan berputus asa. Cuba perbaiki diri dan tonjolkan yang terbaik untuk masa depan anda.

Monday, August 26, 2013

PELANCARAN BULAN PUSAT SUMBER SEKOLAH 2013

"Murid Membaca Murid Berjaya" adalah tema Bulan Pusat Sumber Sekolah (PSS) tahun 2013. Majlis yang diadakan di Dataran Cemerlang, SKS2BK telah dirasmikan oleh En. Mohamed Salem bin Fazal Deen (GPK Kurikulum). Program ini bermula pada 26 Ogos 2013 sehingga 13 September 2013. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah (PSS), Panitia Bahasa Inggeris, Panitia Bahasa Malaysia, Panitia Sains dan Panitia Matematik. Banyak aktiviti yang bakal dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Justeru itu, jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Dapatkan hadiah-hadiah yang menarik daripada aktiviti-aktiviti yang disertai. Selamat Membaca.

Senarai aktiviti yang dipertandingkan boleh dilayari di laman sesawang berikut :
http://psssks2bk.blogspot.com/

Monday, August 19, 2013

PENANGGUHAN KELAS TAMBAHAN BAGI MURID TAHUN 5 2013

Dimaklumkan bahawa kelas tambahan untuk Tahun 5 akan ditangguhkan mulai 20 Ogos 2013 (Selasa) bagi guru-guru mata pelajaran membantu murid-murid Tahun 6 membuat persediaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Tarikh baharu kelas tambahan Tahun 5 akan dimaklumkan kelak.

Sokongan dan kerjasama daripada tuan/puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan kami dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sunday, August 4, 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1434H


Hari Raya Aidilfitri akan tiba tidak berapa hari lagi. Seluruh warga Sekolah Kebangsaan Seksyen 2 Bandar Kinrara ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta ucapan ribuan terima kasih kepada tuan/puan yang telah sama-sama menjayakan Majlis Khatam Al-Quran, Solat Hajat dan Majlis Berbuka Puasa sempena Ihya' Ramadan yang diadakan baru-baru ini.

Pihak sekolah juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan/puan yang telah memberi sumbangan kewangan bagi menjayakan Majlis Sumbangan Duit Raya kepada anak-anak yatim yang memerlukan.

Sekolah akan bercuti dari 3 Ogos 2013 sehingga 18 Ogos 2013. Sekolah akan dibuka semula pada 19 Ogos 2013 (Isnin).

Sokongan dan kerjasama tuan/puan dalam menjayakan aktiviti sekolah amatlah dihargai. Pada bulan yang mulia ini, kami semua pentadbir, guru dan staf sokongan SK Seksyen 2 Bandar Kinrara memohon ampun dan maaf jika ada terkasar bahasa, terlanjur kata dan salah serta silap semoga harap dimaafkan.

Thursday, August 1, 2013

MAJLIS PEMBERIAN SUMBANGAN DUIT RAYA KEPADA ANAK-ANAK YATIM


Bulan Ramadhan adalah bulan rahmat. Umat Islam digalakkan untuk memberikan sumbangan terutamanya kepada anak-anak yatim. Justeru itu, pada pagi ini (1 Ogos 2013) SKS2BK telah mengadakan Majlis Pemberian Sumbangan Duit Raya kepada semua murid SKS2BK yang kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya. Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada PIBG, guru-guru, ibubapa dan penjaga. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua PIBG SKS2BK, En. Zulhaizan b. Mohd. Noor.

Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang yang telah bermurah hati memberi sedikit sumbang bagi meraikan anak-anak yatim SKS2BK. Semoga sumbangan tuan/puan mendapat keberkatan daripada Tuhan.